KOTA KINABALU, 28 Ogos - Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir iaitu Noraidah Lamat dibenarkan menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian remaja itu.
Keputusan tersebut dibuat oleh Pengarah Mahkamah Negeri Sabah merangkap Koroner, Azreena Aziz selepas meneliti permohonan yang difailkan pada 19 Ogos lalu.
Melalui kebenaran itu, Noraidah melalui pasukan peguam pemerhati boleh memeriksa dan menyoal balas saksi, melihat dokumen, serta mencadangkan dan membawa saksi tambahan bagi membantu koroner.
Noraidah turut hadir pada sesi pendengaran permohonan pihak berkepentingan inkues dan tiba di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada pukul 8.50 pagi diiringi pasukan peguamnya.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut membenarkan permohonan peguam mewakili lima remaja bawah umur yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak untuk diterima sebagai pihak berkepentingan dalam inkues.
Selain itu, mahkamah juga meluluskan permohonan pasukan guaman bersama ibu Zara agar keluarga terlibat secara rasmi dalam prosiding berkenaan.
Koroner Azreena turut memaklumkan inkues akan bermula pada 3 September ini di hadapan koroner baharu, Amir Shah Amir Hassan.
Pasukan Timbalan Pendakwa Raya terdiri daripada Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.
Prosiding inkues dijadual berlangsung selama 19 hari iaitu pada 3 dan 4 September; bersambung 8 hingga 12 September; 17 hingga 19 September; 22 hingga 26 September; serta 29 dan 30 September 2025.