fb fb fb fb fb

RUU PSB bukan rampas hak melayu, tetapi bina kediaman selesa

RUU PSB dijelaskan sebagai langkah memperkukuh pembangunan bandar dengan penyediaan perumahan moden dan selesa tanpa menjejaskan hak Melayu

KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) 2025 yang dibentangkan bukan bertujuan merampas hak orang Melayu, sebaliknya menyelamatkan masyarakat Melayu di bandar yang hidup terpinggir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tuduhan pembangkang bahawa kerajaan mengkhianati dan menzalimi orang Melayu adalah tidak berasas.

“Jangan kita buat tuduhan kononnya kerajaan mahu menindas orang Melayu, itu tidak betul. Antara tujuan utama RUU ini adalah untuk menyelamatkan orang Melayu di bandar dan memastikan mereka tidak hidup merempat.

“Jangan buat andaian kononnya ia strategi masyarakat cina untuk merampas hak orang melayu. Saya tidak setuju. Saya bukan boneka. Saya berada di sini atas mandat rakyat dan mesti mempertahankan kepentingan orang melayu bumiputera sebagai majoriti,” tegas beliau.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN–Kuala Terengganu) mengenai dakwaan bahawa RUU PSB membolehkan sesebuah kediaman dirobohkan dan dibangunkan semula secara paksa selepas hanya 30 tahun.

Menurutnya, RUU PSB perlu dilaksanakan bagi membangunkan projek perumahan lebih selesa untuk rakyat, khususnya masyarakat bandar.

Pembentangan RUU PSB bagi bacaan kali kedua berada pada senarai ketujuh dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat hari ini.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN