KUALA LUMPUR, 1 Mac- Seorang pereka hiasan dalaman didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong di laman media sosial Instagram miliknya, tahun lepas.
William Khor Wai Loon, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.
Lelaki itu didakwa telah mengeluarkan kenyataan kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Khor didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Teratai, Ampang di sini pada 3.31 pagi, 20 Nov 2022 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil ‘williamkhor87’ pada masa dan tarikh sama dan kemudiannya dibaca di lokasi sama pada 8 malam, 21 Nov tahun lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali Raman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta tidak dibenarkan membuat hantaran bersifat jelik di media cetak atau elektronik.
(Pereka hiasan dalaman, William Khor Wai Loon, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang
terhadap pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik
terhadap Yang di-Pertuan Agong di laman media sosial Instagram miliknya, tahun lepas/BERNAMA)
Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.
“Bapanya berusia 64 tahun mempunyai masalah kesihatan mata dan telinga. Sementara ibunya 62 tahun merupakan pesakit kanser," katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak membuat sebarang hantaran berhubung kes tersebut.
Wan Mohd Norisham menetapkan 5 April untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Sebelum ini media melaporkan, polis telah menahan seorang lelaki dipercayai memuat naik rakaman video di akaun Instagramnya yang memaparkan ketidakpuasan hati terhadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan proses pemilihan Perdana Menteri ke-10- BERNAMA