SEREMBAN, 1 Mac- Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang pertama dibuka di daerah Tampin iaitu di Sekolah Agama Rakyat, Felda Jelai Empat di Gemas.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun,berdasarkan maklumat awal, PPS itu telah menempatkan dua keluarga dengan bilangan seramai 29 orang penghuni setakat jam 1.30 petang tadi.
"Ia berikutan paras air Sungai Muar dan Sungai Gemas yang berada berhampiran penempatan berkenaan mencatatkan peningkatan akibat hujan berterusan sejak petang semalam.
"Beberapa anggota keselamatan seperti pasukan bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bergerak ke lokasi yang terjejas bagi memantau situasi terkini," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Pasca Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban.
(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)
Dalam pada itu, Aminuddin turut mengingatkan kepada semua pihak supaya peka dengan keadaan cuaca ketika ini berikutan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk) di seluruh Negeri Sembilan.
"Hujan lebat tersebut dijangka berterusan sehingga esok dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam.
"Justeru, penduduk kena akurlah kalau pihak berkuasa mengarahkan mereka berpindah ke tempat selamat, PPS sebab ini selalu terjadi. Air dah naik paras bumbung barulah bersedia nak berpindah dan waktu itu proses menyelamat sudah sukar," katanya.
Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memantau keadaan melalui pusat kawalan strategik Negeri Sembilan Command Center (NeSCOM) dan bersedia menggerakkan sebarang aset sekiranya terdapat keperluan.