fb fb fb fb fb

Perdaya pelaburan tidak wujud, pegawai bank diheret ke mahkamah

KAMPAR, 12 Julai- Seorang bekas pegawai bank bakal berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan jika didapati bersalah atas dua pertuduhan, menipu pelaburan tidak wujud membabitkan nilai RM110,000.

Tertuduh, M. Pathmanathan, 43 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kampar mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah memperdaya S. Kogeelan, 32 tahun untuk masuk pelaburan berjumlah RM30,000 pada Mac 2023.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh telah mendorong M.Jessinta Mary, 52 tahun menyerahkan wang berjumlah RM80,600 kepadanya secara pindahan ke akaun peribadi bagi tujuan pelaburan itu.

Perbuatan itu dilakukan pada Oktober 2021 dan September 2022.


(Foto Hiasan)

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Majistret A Hafiizh Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM23,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Julai depan untuk serahan dokumen.

Media Baharu