fb fb fb fb fb

Perdana Menteri umum bubar parlimen hari ini

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi ucapan yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian mulai pukul 3 petang tadi.

Dalam ucapannya, Ismail berkata beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara pada tengah hari semalam bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.

"Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022," katanya.

Susulan itu, Perdana Menteri mengesyorkan agar semua Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya.

"Ia bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen.

"Meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing," katanya.

Susulan pembubaran Parlimen pada hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan tarikh pilihan raya diadakan.

Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, daripada tarikh pembubaran Parlimen.

Ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi.

Pada PRU-14 yang lalu, SPR mengumumkan 28 April 2018 tarikh penamaan calon, kemudian tarikh pengundian awal pada 5 Mei 2018, dan 9 Mei 2018 sebagai tarikh mengundi buat rakyat Malaysia.

Keputusan undi pada PRU-14 yang lalu menyaksikan Barisan Nasional yang memerintah negara selama 60 tahun tumbang selepas Pakatan Harapan (PH) mencatat kemenangan bersejarah, apabila ia melepasi jumlah 112 kerusi yang diperlukan.

Pada PRU-14 yang lalu PKR memenangi 47 kerusi, DAP (42), BERSATU (13), AMANAH (11) dan WARISAN lapan kerusi.

Keseluruhan gabungan itu memperoleh 121 kerusi parlimen, cukup untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Keputusan awal, selepas selesai pengiraan yang berakhir sehinggal awal pagi menyaksikan PH meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu.

Pengerusi SPR ketika itu, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang mengumumkan keputusan kerusi Parlimen bagi PRU pada ketika itu.

PH terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara meraih 113 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 79 kerusi.

PAS pula menang 18 kerusi Parlimen, diikuti Parti Warisan Sabah (8); Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3).

Bagaimanapun kedudukan terkini kerusi pilihan raya berdasarkan laporan SPR menunjukkan PKR memperoleh 104 kerusi, BN (79), Pas (18), DAP (9), Warisan (8), bebas (3), Solidariti (1).

Perubahan itu disebabkan beberapa ahli parlimen bertukar parti dan beralih sokongan yang turut menyaksikan perubahan perdana menteri semasa berdasarkan parti yang mendapat sokongan untuk membentuk kerajaan, termasuk sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).




Media Baharu