fb fb fb fb fb

Perdagangan borong dan runcit catat pertumbuhan 4.7 peratus pada Ogos

FOTO FAIL BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Perdagangan borong dan runcit terus menunjukkan pengukuhan dengan nilai jualan pada Ogos 2024 berjumlah RM149.2 bilion, mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus tahun ke tahun.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan, pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit, yang meningkat 5.9 peratus kepada RM64.1 bilion.

Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jualan runcit makanan, minuman dan tembakau menunjukkan prestasi baik, mencatatkan jualan sebanyak RM4.1 bilion.

Peningkatan 6.8 peratus tahun ke tahun dan 1.3 peratus bulan ke bulan.

Sementara itu, jualan runcit bahan api kenderaan mencatatkan peningkatan yang stabil, meningkat 5.3 peratus tahun ke tahun.

Jualan borong barangan isi rumah mencatatkan prestasi yang stabil dengan jualan sebanyak RM13.9 bilion, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 6.7 peratus .

Penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor pula melonjak kepada RM2.7 bilion dalam jualan, mencatatkan pertumbuhan yang luar biasa sebanyak 9.0 peratus tahun ke tahun.

Jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor juga mencatatkan prestasi yang baik, meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun kepada RM5.1 bilion.

Indeks jualan runcit melalui internet pula bertumbuh 6.5 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2024 berbanding 5.7 peratus pada Julai 2024.

Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menokok 4.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE