KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Nilai jualan sektor pembuatan berjumlah RM163.9 bilion pada Ogos 2024, menunjukkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 7.7 peratus.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, peningkatan itu didorong pertumbuhan dua digit yang direkodkan dalam sub-sektor makanan, minuman dan tembakau serta produk elektrik dan elektronik.
Industri berorientasikan eksport yang mewakili 72.7 peratus daripada jumlah nilai jualan, tumbuh 7.8 peratus, peningkatan sederhana daripada 9.4 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Prestasi itu dipengaruh peningkatan dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal 12 peratus, pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan 23.3 peratus dan pembuatan produk getah 11.6 peratus.
Begitu juga, industri berorientasikan domestik berkembang 7.6 peratus dipacu pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler pada 10.4 peratus.
Diikuti pembuatan produk pemprosesan makanan 7.5 peratus dan Pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan 9.7 peratus.
Bagi perbandingan secara bulanan, nilai jualan industri berorientasikan domestik terus meningkat dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus.
Terdapat 2.38 juta pekerja terlibat dalam sektor pembuatan, meningkat 1.0 peratus.
Selaras dengan peningkatan bilangan pekerja, gaji dan upah dibayar dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 1.5 peratus, mencecah RM8.12 bilion.
Ini menjadikan kenaikan purata gaji dan upah bulanan setiap pekerja adalah sebanyak 0.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3,417 ringgit.