Perbaharui lesen memandu untuk kekal layak BUDI95 – JPJ

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyeru pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) supaya memperbaharui lesen masing-masing bagi memastikan kelayakan menerima subsidi BUDI95 tidak terjejas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lesen aktif jika tamat tidak melebihi 36 bulan dari tarikh pembaharuan terakhir; boleh diperbaharui tanpa ujian tambahan.
  • Lesen tamat lebih 36 bulan tidak layak subsidi dan perlu menjalani semula ujian kompetensi sebelum pembaharuan.
  • JPJ menegaskan komitmen memperkukuh perkhidmatan cekap, telus dan berintegriti; pemegang diingatkan memperbaharui lesen dalam tempoh ditetapkan.

Menurut JPJ, lesen yang masih diklasifikasikan sebagai aktif ialah lesen yang tempoh tamatnya tidak melebihi 36 bulan dari tarikh pembaharuan terakhir.

“Dalam tempoh berkenaan, pemegang lesen masih layak menerima subsidi BUDI95 serta boleh memperbaharui lesen tanpa perlu menjalani ujian tambahan.

“Namun, bagi lesen yang telah tamat tempoh melebihi 36 bulan, pemegangnya tidak lagi layak menerima subsidi berkenaan dan perlu menjalani semula ujian kompetensi memandu sebelum pembaharuan boleh dilakukan,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi jabatan itu.

Sehubungan itu, JPJ mengingatkan semua pemegang LMM supaya memperbaharui lesen dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan status menjadi tidak aktif.

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian bukan sahaja menjejaskan kelayakan subsidi, malah memerlukan pemegang lesen mengulangi proses ujian memandu.

JPJ turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.