fb fb fb fb fb

PerantiSiswa: 381,251 tablet diagihkan seluruh negara setakat ini

(Menteri KKD, Fahmi Fadzil pada 'Jelajah Saya Digital 2023 di Kelantan' 
dekat UiTM Cawangan Kampus Machang)

MACHANG, 24 Jun -Sebanyak 381,251 tablet telah diagihkan ke seluruh negara menerusi inisiatif PerantiSiswa yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sejak September 2022.
 
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata pengagihan kemudahan itu bertujuan untuk membantu dan memastikan kelancaran proses pembelajaran mahasiswa dan pelajar daripada keluarga B40.

Di Kelantan sahaja, seramai 29, 609 penerima inisiatif PerantiSiswa telah dikenal pasti dan sehingga kini 24,525 tablet telah diedarkan.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan 'Jelajah Saya Digital 2023 di Kelantan' dekat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kampus Machang.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor.

Sementara itu, mengenai 'Kempen Saya Digital', Fahmi berkata ia dianjurkan bagi mempersiapkan rakyat dengan kemahiran digital untuk memperkasakan ekonomi digital.


(Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil)

Ini terutamanya melibatkan golongan B40, warga emas, komuniti rentan sosioekonomi, pelajar dan usahawan.

"Program eUsahawan 'Saya Digital Bisnes' yang merupakan satu daripada teras Kempen Saya Digital telah berjaya melatih seramai 27,595 usahawan di Kelantan dengan jumlah jualan terkumpul melebihi RM1.1 bilion.

"Selain itu, portal MyDIGITAL.KKD merupakan sebuah pusat sehenti yang dibangunkan oleh KKD dalam usaha pendigitalan pelbagai perkhidmatan kerajaan untuk rakyat," katanya.
 
Ujar Fahmi, program yang dihadiri hampir 500 mahasiswa dan usahawan tempatan itu merupakan program turun padang untuk meningkatkan literasi kemahiran digital rakyat agar seiring dengan visi menuju Dekad Keemasan Digital sekali gus menjadikan Malaysia sebagai Harimau Digital Asia.

Media Baharu