(Anwar Ibrahim dalam Program Temu Anwar di USIM dekat Nilai, Negeri Sembilan)
NILAI, 24 Jun- Kira-kira 3,000 peserta terdiri daripada mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), pelajar Tingkatan 6 dan orang awam turut serta dalam Program Temu Anwar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.
Salah seorang mahasiswa, Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Baharin mengakui teruja kerana dapat menyuarakan pendapat dan persoalan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Bila mana saya mengadu, dan Datuk Seri (Anwar) menulis (catat) masalah, isu (dikemukan) di depan mata saya. Saya sendiri sokong sepenuhnya apa yang dibawa kerajaan hari ini.
"Namun, saya berharap tulisan itu bukan sekadar tulisan yang biasa, bahkan ia diharap ada insiatif atau tindakan susulan daripada pihak kerajaan," katanya di sini.
Shamsul turut mengakui, gagasan Madani yang dibawa Anwar sesuai bagi univerisiti.
Sementara itu, bagi mahasiswa, Chan Jia You memaklumkan, program yang diadakan telah membuktikan kerajaan hari ini mudah didekati rakyat.
"Ia adalah satu perkara yang baik kerana memberi gambaran kerajaan mudah didekati. Ia juga sangat mengujakan bagi setiap pelajar, bukan pelajar IPT sahaja tetapi pelajar sekolah boleh menyuarakan pertanyaan dan terus mendapat jawapan," katanya.
Bagi mahasiswa, Tasnim Tuah pula, dia menyatakan berbesar hati dengan kehadiran Anwar yang memaklumkan akan membawa setiap masalah yang didengar beliau kepada Jemaah Menteri.
"Datuk Seri (Anwar) datang sendiri ke USIM untuk mendengar luahan pelajar dan mahasiswa. Saya rasa berbesar hati. Datuk Seri beritahu akan kemukakan masalah dan pandangan kepada Jemaah Menteri. Secara tidak langsung, Datuk Seri mendengar luahan rakyat sebab program ini ada orang luar juga yang datang," katanya.
(Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Baharin, Chan Jia You dan Tasnim Tuah)