fb fb fb fb fb

Lingkaran Tengah Utama (LTU): 54 peratus telah siap dibina

(Datuk Seri Wan Rosdy (kanan) bersama Datuk Seri Abdul Rahman pada Pembukaan LTU
Seksyen 5B: Kampung Orang Asli Sungai Chandan ke Kampung Asap, Raub hari ini)

RAUB, 24 Jun- Sebanyak 54 peratus daripada hampir 300 kilometer (km) laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Bentong telah siap. 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pihaknya yakin sasaran siap keseluruhan LTU pada 2026 dapat dicapai berdasarkan kepada perkembangan semasa pembinaan. 

"Walaupun kita meletakkan sasaran siap tahun 2026, pada lawatan saya dan pertemuan dengan kontraktor, kita mahu kalau mereka boleh laksanakan, sasaran ini dapat dicapai lebih awal iaitu 2025," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pembukaan LTU Seksyen 5B: Kampung Orang Asli Sungai Chandan ke Kampung Asap, Raub hari ini.

Pembukaan LTU itu dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Pembukaan Seksyen 5B sepanjang 16km itu siap dua bulan lebih awal. 


(Pembukaan LTU Seksyen 5B: Kampung Orang Asli Sungai Chandan ke Kampung Asap di Raub)

Sementara itu, Wan Rosdy berkata dengan pembinaan LTU, pengguna yang berulang alik ke Pantai Timur tidak perlu lagi melalui bandar Bentong dan Raub terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah, sekali gus ia mengurangkan kesesakan.

"Pembinaan lebuh raya secara automatik juga membawa limpahan ekonomi dan menjadi nilai tambah serta selari dengan fokus kerajaan negeri mahu meningkatkan ekonomi di kawasan Pahang Barat.

"Penyediaan infrastruktur seperti ini juga dapat menarik pelabur datang, kerana mereka menilai kemudahan yang ada sebelum membuat keputusan untuk melabur," katanya. 

Dianggarkan sekitar 500,000 kenderaan akan menggunakan LTU pada waktu puncak termasuk menjelang Aidiladha pada minggu hadapan. 

Pembukaan rasmi Seksyen 5B bermula tengah malam ini, selepas mula dibina pada 14 Mac 2018 melibatkan kos RM294.6 juta.

Sebelum ini, pengguna jalan raya dari ibu negara atau Bentong perlu melalui Jalan Laluan Persekutuan 8 iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Gua Musang untuk ke bandar Raub yang mengambil masa 45 minit dengan jarak lebih 30km.

Namun kini dapat dipendekkan kepada 18.6km dengan masa 15 minit. 

Media Baharu