fb fb fb fb fb

Perantau pulang ke ibu kota, aliran trafik Gua Musang meningkat

Kesesakan jalan raya yang dirakam RTM di laluan Gua Musang petang tadi

GUA MUSANG, 4 April- Aliran trafik di sekitar Gua Musang, Kelantan sesak sejak petang tadi susulan pergerakan perantau yang kembali ke ibu kota selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Penguasa Polis (SP) Sik Choon Foo berkata peningkatan trafik ketara dijangka berlaku terutama di laluan utama ke ibu kota, iaitu Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

"Pergerakan kenderaan perlahan di beberapa lokasi tumpuan termasuk kawasan Bandar Utama, lampu isyarat di bandar Gua Musang serta kawasan pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU)," katanya.

Sejak Khamis lalu, polis menjalankan penarikan dan penyuraian trafik antara 20 hingga 25 kali sehari bagi melancarkan aliran kenderaan di kawasan tersebut.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya bertimbang rasa dan bertolak ansur bagi mengurangkan kesesakan, selain merancang perjalanan lebih awal.

Sebelum ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh raya sepanjang tempoh puncak perjalanan pulang ke ibu kota pada 4 hingga 6 April.

Orang ramai disarankan mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan oleh PLUS bagi mengelakkan kesesakan.

SITI AISHAH MD ISA