KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI) kekal memainkan peranan penting memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam pasaran modal negara walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, PRIBUMI bukan sahaja memberi manfaat besar kepada ahlinya, malah turut berperanan memperkukuh pasaran modal negara.
“Pelancaran PRIBUMI Bursa Malaysia Zakat Index (PBMZI) mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam dan pelaporan zakat korporat, sekali gus mencerminkan komitmen negara terhadap prinsip maqasid syariah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 PRIBUMI di sini, hari ini.
Persatuan turut diseru memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan remisier muda Bumiputera yang celik digital serta berdaya saing.
Sementara itu, mengulas mengenai Belanjawan, katanya Belanjawan 2026 mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh dan terus berkembang mampan meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Ekonomi negara mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.4 peratus pada separuh pertama 2025 dengan unjuran stabil sehingga 2026, manakala defisit fiskal dijangka menurun kepada 3.5 peratus.
Tambahnya, kutipan hasil kerajaan diunjur mencecah RM343.1 bilion dan pelaburan asing bernilai RM190 bilion diluluskan.
"Ia sekaligus membuktikan Malaysia berada di landasan kukuh menuju kemakmuran ekonomi yang inklusif dan mampan". katanya.