fb fb fb fb fb

Peranan Malaysia sebagai pendamai Thailand-Kemboja terus diiktiraf

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan) bergambar bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles selepas menandatangani kenyataan bersama pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia Mengenai Kerjasama Pertahanan kali kelima. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Australia menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas usaha menamatkan konflik di sempadan Kemboja dan Thailand.

Penghargaan itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Australia Richard Marles yang juga Menteri Pertahanan Australia kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) Kelima di sini.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia telah menunjukkan kepimpinan yang berkesan dalam memastikan keamanan di rantau ini, termasuk usaha penting bagi gencatan senjata di sempadan Kemboja dan Thailand," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama, kedua-dua Menteri menegaskan bahawa kerjasama pertahanan merupakan tonggak asas kepada Perkongsian Strategik Komprehensif, yang diperkukuh melalui Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP), termasuk program pendidikan menyeluruh, latihan dan eksesais.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Khaled turut merakamkan penghargaan kepada Australia atas sokongan dalam menaik taraf infrastruktur dan pembaikan landasan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.

“Dengan sokongan Australia, kerja-kerja naik taraf infrastruktur dan landasan di Butterworth kini menunjukkan kemajuan ketara, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan bersama,” ujarnya.

Kedua-dua Menteri juga mengiktiraf cabaran keselamatan baharu seperti keselamatan siber, keselamatan maritim, keganasan dan ekstremisme ganas, serta menegaskan komitmen memperkukuh kerjasama dalam menghadapi ancaman tersebut.

JALALUDDIN BIN BAHARIN