fb fb fb fb fb

Penjawat awam mengaku tidak salah atas pertuduhan rasuah

Foto RTM Labuan

LABUAN, 21 Ogos - Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah.

Tertuduh yang berusia 44 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Jason Juga.

Tertuduh didakwa menerima suatu benda berharga daripada sebuah syarikat kontraktor yang mempunyai kerja rasmi untuk membekal kelengkapan dan peralatan bagi projek perikanan sebuah jabatan kerajaan.
 
Pertuduhan dikemuka mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dia juga diarah melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 Oktober ini.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN