fb fb fb fb fb

FEM 2025 langkah strategik jadikan Malaysia hab francais terkemuka

FEM 2025 yang berlangsung hari ini hingga 23 Ogos turut merangkumi pelbagai sektor termasuk daripada makanan dan minuman hingga kepada pendidikan, kesihatan dan peruncitan mini.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Penganjuran Franchise Expo Malaysia (FEM) 2025 adalah langkah strategik dan manifestasi utama dalam merealisasikan matlamat Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais serantau terkemuka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, FEM 2025 secara langsung menyediakan platform bagi jenama tempatan untuk mempamerkan produk mereka kepada pelabur antarabangsa serta memberi peluang kepada usahawan baharu untuk meneroka bidang perniagaan.

"Ini mengingatkan semula akan kepentingan FEM 2025 sebuah ekspo yang bukan sekadar tentang pameran, tetapi tentang jalinan hubungan, kerjasama dan peluang. Ia merupakan platform di mana usahawan baharu boleh meneroka bidang perniagaan, jenama yang telah kukuh dapat mengembangkan rangkaian dan pelabur antarabangsa berpeluang melihat potensi Malaysia sebagai destinasi seterusnya.

"Dengan lebih 400 pempamer serta nilai transaksi yang diunjurkan mencecah RM120 juta, FEM 2025 mencerminkan kekuatan sektor francais negara. Namun, nilai sebenarnya terletak pada hubungan yang terjalin, ilmu yang dikongsi dan peluang yang terbuka," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Franchise Expo Malaysia (FEM) 2025 di sini.

FEM 2025 yang berlangsung hari ini hingga 23 Ogos turut merangkumi pelbagai sektor termasuk daripada makanan dan minuman hingga kepada pendidikan, kesihatan, peruncitan mini serta penyedia penyelesaian teknologi runcit.

Edisi kali ini juga melibatkan penyertaan pertama Thailand menerusi sepuluh jenama francais dinamik dari negara itu.

JALALUDDIN BIN BAHARIN