fb fb fb fb fb

Sifat ceria Azizi, tinggalkan kenangan buat keluarga, warga RTM

Allahyarham Azizi Harun meninggal dunia pada usia 55 tahun.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Jenazah Allahyarham Penerbit Rancangan RTM, Azizi Harun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Meru Raya, Ipoh, pada pukul 6.25 petang tadi. 

Terdahulu jenazah disolatkan di Masjid Muhammadi RTM pada tengah hari, sebelum dibawa ke Masjid Ar-Rahman, Kampung Sungai Tapah, Ipoh kira-kira pukul 5.05 petang, untuk disolatkan buat kali kedua.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu disifatkan sebagai seorang yang penyayang dan sentiasa mengambil berat tentang keluarga. Abangnya, Azhar Harun, berkata Allahyarham sangat rapat dengan ibu serta sering menzahirkan kasih sayang terhadap adik-beradik.

“Arwah ini seorang yang sangat menyanjungi ibu. Apa-apa dia akan sebut nama emak, tentang kasih sayang dengan adik-adik semua memang dia sebut selalu,” katanya.

Adiknya, Zeti Azmarina Harun, pula berkongsi kenangan terakhir bersama Allahyarham.

“Arwah tidak menunjukkan sifat berbeza, dia ceria. Cuma ketika bersalam, dia peluk erat. Itu kali terakhir saya nampak,” ujarnya.

Rakan sekerja Kamal Firmanshah Kamaluddin, menyifatkan pemergian Azizi sebagai satu kehilangan besar buatnya, apatah lagi mereka pernah bersama-sama membuat liputan haji di Mekah pada tahun lalu.

“Kami sangat merindui dia, bukan sahaja kepimpinan dia tetapi juga sikap tenangnya. Dia menceriakan kami dan rakan media lain ketika bertugas,” katanya.

Kehilangan turut dirasai Ketua Imam Masjid Muhammadi RTM, Ustaz Mohd Firdaus Muhamad, susulan Allahyarham sering menunaikan solat di masjid tersebut.

“Ketika solat Asar semalam, genggaman erat tangannya sambil tersenyum amat terasa bagi saya,” katanya.

Allahyarham Azizi Harun, 55 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.57 malam semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas rebah ketika mengikuti latihan bola tampar di RTM.

Allahyarham mula menyerlahkan bakatnya sebagai penyampai radio di RTM Perak pada 1988, sebelum berkhidmat di RTM Melaka, Johor dan kemudian kembali bertugas di Angkasapuri.

Beliau meninggalkan seorang isteri, dua anak lelaki dan dua anak perempuan.

TUN JULIA MOHD TAHIR