fb fb fb fb fb

Peralihan Monsun bermula pertengahan September sehingga November- MET Malaysia

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 14 September- Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 19 September 2023 dan berterusan sehingga November 2023.

Permulaan fasa tersebut menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 15 Mei 2023.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

"Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

"Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

"Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.

Tambah Muhammad Helmi, orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.


(Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah)

Media Baharu