fb fb fb fb fb

Peralihan kepada lateks jana pendapatan tinggi buat pekebun kecil

(FOTO BERNAMA)

BALING, 11 Jun - Peralihan daripada penghasilan getah sekerap dan krip kepada susu getah atau lateks mampu menjana pendapatan lebih tinggi buat pekebun kecil.

Justeru kerajaan sedang mengenal pasti kaedah dalam membantu dan menggalakkan pekebun kecil ke arah peralihan tersebut.
 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya sedang meneliti pelbagai perkara untuk merealisasikan inisiatif berkenaan.

Ini termasuk model perniagaan yang boleh diperkenalkan kepada pekebun kecil selain kerjasama pemain industri getah.

(Datuk Seri Fadillah Yusof menunjukkan bakat menoreh getah di Kampung
Charok Gorok, Baling / FOTO BERNAMA)

"Teknologi ada tapi yang melaksanakan hanyalah syarikat-syarikat yang besar. Kalau pekebun kecil mungkin kemampuan untuk guna teknologi itu tiada

"Sebab itu kita mahu jadikan model perniagaan yang baharu dan kalau kita dapat bergabung dengan syarikat dan mereka dapat membantu memastikan teknologi baru dapat digunakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sembang Getah Warung di Kampung Charok Gorok, di sini.
 
Tambah Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, peralihan itu juga dapat mengurangkan import lateks negara yang dianggarkan sekitar RM3 bilion setahun.

Ini sekali gus dapat mengelakkan aliran keluar mata wang negara.

Media Baharu