KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Hampir separuh daripada majikan di Terengganu gagal mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarah Perkeso negeri, Farihah Che Husin berkata ia melibatkan 43.6 peratus majikan daripada 585 pemeriksaan yang dijalankan di premis tumpuan sepanjang bulan lalu, menerusi Op Pemutihan.
“Pada tahun ini, Perkeso mengadakan Op Pemutihan di seluruh negara selama dua bulan, iaitu bermula 1 Mei hingga 30 Jun, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu hanya selama sebulan.
"Hasil pemeriksaan yang dibuat pada bulan lepas mendapati, 255 atau 43.6 peratus majikan gagal mendaftar dan mencarum dengan Perkeso. Pelbagai alasan diberikan mereka termasuklah tidak tahu kewujudan Perkeso, serta tidak sempat untuk mendaftar,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Op Pemutihan di sini.
Farihah berkata lagi menerusi Op Pemutihan tahun ini, pihaknya menyasarkan premis yang baharu beroperasi serta perusahaan yang menjalankan perniagaan sehingga lewat malam, dengan menggajikan pekerja tempatan dan warga asing yang layak mencarum dengan PERKESO.
(Farihah Che Husin/FOTO BERNAMA)
Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana majikan yang ingkar, bermula 1 Julai ini.
"Alasan apa juga yang mereka berikan kerana kita ini maklumat sumua di hujung jari. Yang kedua jika mereka tidak mampu untuk ke pejabat PERKESO, mereka boleh menggunakan aplikasi digital laman web portal yang boleh dilaksanakan secara dalam talian sahaja," katanya lagi.