BALING, 11 Jun - Pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan beberapa peraturan lain yang diperkenal Eropah dilihat satu bentuk diskriminasi yang bertujuan menyekat perniagaan dan industri sawit negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, peraturan tersebut selain Perjanjian Hijau Eropah merupakan cadangan untuk menyekat kemasukan produk negara ini yang lebih produktif, progresif dan kompetitif berbanding produk yang dihasilkan di Eropah.
"Misal kata minyak sawit, berbanding minyak sawit dengan soya, dia perlukan tanah yang lebih besar untuk menghasilkan minyak dan dia terpaksa buang, tanam semula. Kelapa sawit kita tanam hari ni berlanjutan hingga 25 tahun. Makna kos kita lebih rendah. Jadi untuk tingkatkan mereka bersaing, dia perkenalkan banyak perkara yang bagi kita boleh menyebabkan kos perniagaan yang lebih mahal," kata Fadillah, di sini.
(Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi bercakap kepada pemberita
selepas menghadiri program Sembang Getah Warung bersama
lebih 150 pekebun kecil getah di Kampung Charok Gorok, di sini)
Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatnya dari Indonesia mengenai amalan diskriminasi itu yang turut memberi kesan kepada industri sawit di negara tersebut.
Baru-baru ini, Fadillah dan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi (KOMENKO) Indonesia Dr Airlangga Hartarto telah menyertai misi bersama ke Kesatuan Eropah untuk melindungi kepentingan sektor minyak sawit kedua-dua negara.
Misi itu adalah bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Sebelum ini, Presiden Indonesia Joko Widodo semasa mengadakan lawatan kerja ke Malaysia baru-baru ini dilaporkan turut mahu kolaborasi lebih erat di antara kedua-dua negara dalam menentang diskriminasi terhadap minyak sawit.