fb fb fb fb fb

Perak tubuh pasukan petugas audit penubuhan taska di tempat kerja

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed

IPOH, 4 Disember- Kerajaan Negeri Perak mewujudkan Pasukan Petugas Pengauditan Penubuhan Taska Tempat Kerja sebagai usaha menggalakkan pengoperasian taska di tempat kerja sektor awam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata inisiatif tersebut menyasarkan semua pejabat kerajaan di seluruh negeri ini, membabitkan pejabat daerah dan tanah, majlis daerah, perbadanan, institusi pengajian tinggi dan hospital kerajaan.

"Maka saya menyeru kepada ketua-ketua jabatan, khususnya pejabat daerah dan tanah, majlis daerah dan jabatan-jabatan negeri untuk melihat perkara ini dan mulai tahun 2024 pihak kerajaan negeri akan menggerakkan task force ini dengan lebih agresif supaya taska dapat diwujudkan di pejabat-pejabat utama dan sekali gus ianya memberi ruang kepada golongan wanita untuk bekerja," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Salbiah (BN-Temengor) menjawab soalan S. Wasanthee (PH-Hutan Melintang) yang ingin tahu jumlah kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak di Perak untuk tiga tahun dan adakah kerajaan negeri menyediakan sebarang insentif untuk menggalakkan penubuhan pusat jagaan kanak-kanak taska dan tadika di kilang, jabatan dan premis beli-belah.

Sementara itu, beliau berkata bagi menggalakkan penubuhan taska di kilang dan premis membeli belah, JKM mengadakan kempen Jom Daftar TASKA.

“Melalui kempen ini, pihak pengurusan kilang atau pasar raya akan dimaklumkan mengenai kriteria dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum memulakan operasi penubuhan taska di tempat kerja.

“Melalui penerangan ini juga pihak pengurusan terlibat akan diberi penerangan, hanya taska yang berdaftar sahaja layak diiktiraf sebagai selamat bagi menghantar anak-anak untuk diasuh,” katanya.

Sementara itu katanya pada 2020, terdapat sebanyak 332 kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak direkodkan di Perak disusuli peningkatan pada 2021 dengan 370 kes.

Bagaimanapun, katanya terdapat peningkatan mendadak pada tahun lepas dengan 532 kes, namun berlaku penurunan signifikan iaitu sebanyak 168 kes sahaja direkod tahun ini sehingga 30 November lepas.

Katanya, peningkatan mendadak berlaku pada 2021 dan 2022 yang merupakan tahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 adalah disebabkan tekanan dan kesulitan hidup yang memaksa rakyat berkurung di rumah dan kanak-kanak turut dijadikan mangsa.

ZEHRA BINTI ZAMBRI