KUALA LUMPUR, 4 Disember- Dasar dan Pelan Tindakan Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi 2023-2030 sedang dibangunkan dan dijangka selesai pada penghujung tahun ini.
Kajian tersebut bertujuan meningkatkan jenama pendidikan tinggi negara dan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf global, selaras matlamat Lonjakan 8 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 Pendidikan Tinggi.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited dan proaktif dalam menarik minat pelajar antarabangsa ke Malaysia serta menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan serantau.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, setakat Oktober tahun ini, permohonan pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian ke Malaysia meningkat lima peratus berbanding tahun lalu.
"Sehingga Jun 2023, terdapat seramai 104,315 pelajar antarabangsa di Malaysia iaitu 43,152 di universiti awam dan 60,363 di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang sedang mengikuti pengajian di dalam pelbagai bidang dan peringkat.
"KPT telah mempunyai 12 buah pejabat Education Malaysia luar negara iaitu di Australia, Beijing, Chicago, Dubai, Ho Chi Minh, Indonesia, Jordan, Los Engeles , Mesir, New Zealand dan Washington" katanya di Dewan Negara.
Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau, KPT melalui 'Education Malaysia Global Services (EMGS) dan pejabat Education Malaysia luar negara melaksanakan pelbagai usaha pemasaran dan promosi pendidikan tinggi yang berterusan di peringkat global, termasuk penglibatan dalam pameran pendidikan antarabangsa, promosi dalam talian dan kerjasama dengan agensi promosi pendidikan tinggi luar negara.