KUALA LUMPUR, 4 Disember- Garis panduan tadbir urus penggunaan kecerdasan buatan (AI) akan dilancarkan tahun depan.
Garis panduan tersebut merangkumi tujuh prinsip bagi membantu pengendali AI, sekali gus memastikan penggunaan selamat kepada orang ramai.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam membangunkan garis panduan dan etika AI negara di bawah Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025.
"Tujuh prinsip AI termasuk keadilan, kedua keboleh kepercayaan, keselamatan dan kawalan, ketiga privasi dan keselamatan, keempat keterangkuman, kelima keterusan, keenam akauntabiliti, ketujuh faedah dan kebahagiaan manusia", katanya dalam sesi Dewan Negara.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mengenai masa depan juruanimasi setelah kehadiran teknologi AI.
Garis panduan itu akan digunakan untuk pembangunan AI yang bertanggungjawab dan dipercayai dalam kalangan pengguna, selain menangani isu yang bercanggah dengan nilai, agama dan sosio budaya tempatan.