fb fb fb fb fb

Tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan negara

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR, 4 Disember- Tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan Malaysia susulan pelepasan air terawat oleh Kerajaan Jepun ke Lautan Pasifik.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata pemantauan dibuat Jabatan Tenaga Atom secara berterusan menggunakan Sistem Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) yang dipasang di Jeti Institut Penyelidikan Marin Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.

"Kerajaan Malaysia faham tentang kebimbangan rakyat dan komited untuk memastikan keselamatan pekerja, orang awam dan alam sekitar.

"Keputusan Kerajaan Jepun melepaskan sisa air terawat di perairan melalui Advance Liquid Processing System (ALPS) dilakukan setelah mendapat penilaian terperinci dan pemantauan ketat oleh pihak berkompeten iaitu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

"IAEA dalam laporan yang telah dikeluarkan pada tahun ini yang bertajuk 'IAEA Comprehensive Report on Safety Reveal ALPS Treated Water at the Fukushima Daichi Nuclear Power Station' mengenai isu ini telah menyatakan bahawa pelepasan air sisa terawat ke Lautan Pasifik adalah mematuhi keselamatan piawaian antarabangsa serta menyebabkan impak radiologi yang boleh diabaikan ataupun tidak signifikan kepada manusia dan alam sekitar", katanya di Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong berhubung status radioaktif di perairan negara.

Bagi tujuan peningkatan keupayaan pemantauan aras keradioaktifan di perairan negara, MOSTI dan Jabatan Tenaga Atom merancang untuk menambah empat (4) unit GSWMS.

Usaha itu sedang giat dilaksana bagi menilai tapak lokasi yang bersesuaian untuk penempatan stesen pemantau berkenaan.

ROSLINA BINTI DIN