fb fb fb fb fb

Perak serah geran penerbitan 10 bahan ilmiah bernilai RM230,000

IPOH, 1 Mac - Kerajaan Negeri Perak hari ini menyerahkan Geran Penerbitan Perak Sejahtera 2030 berjumlah RM230,000 kepada Institut Darul Ridzuan (IDR) bagi penerbitan 10 bahan ilmiah berkaitan cabaran dan isu negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata geran itu merupakan inisiatif kerajaan negeri menerusi IDR yang digerakkan dengan kerjasama strategik Pemikir Darul Ridzuan, pemain industri serta pakar pelbagai bidang daripada institusi pengajian tinggi.

Ujarnya penerbitan itu juga bakal meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai senario semasa yang dihadapi Perak.

"Sepuluh buku yang julung kali diterbitkan ini dijangka siap sepenuhnya tahun ini dan akan menjadi rujukan pemegang taruh negeri dan pelaksana ke arah merealisasikan pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian geran itu di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.


(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad)

Beliau berkata IDR akan memfokuskan kepada penerbitan buku yang menyentuh isu Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), masyarakat menua dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), selain isu migrasi, kemiskinan dan kerentanan, kesihatan dan kesejahteraan, sekuriti makanan dan kelestarian alam, ekonomi digital serta analisis data raya.

Terdahulu, Saarani melancarkan Bulan Wanita Perak, inisiatif yang julung kali diadakan sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.

Selaras pelancaran itu, pelbagai program dijalankan bermula hari ini hingga 19 Mac, iaitu tarikh sambutan rasmi Hari Wanita Peringkat Negeri Perak, yang bakal menghimpunkan kira-kira 2,000 wanita di Laman Seri Ridzuan.

Media Baharu