fb fb fb fb fb

Perak negeri kedua tertinggi catat keluasan tanah rizab Melayu - Saarani

(FOTO HIASAN)

IPOH, 25 Ogos - Perak mencatatkan keluasan Tanah Rizab Melayu kedua tertinggi dengan menyumbang kepada jumlah 19 peratus di Semenanjung Malaysia selepas Kelantan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata keluasan Tanah Rizab Melayu di Perak adalah lebih 953,000 hektar atau 45.1 peratus berbanding 2.1 juta hektar daripada keluasan tanah di negeri ini.

Menurut Saarani, data menunjukkan terdapat seluas 14,960.23 hektar Tanah Rizab Melayu telah dibatalkan dan digantikan semula dengan jumlah yang lebih tinggi iaitu 27,255.92 hektar sepanjang tempoh selepas merdeka di negara ini.

(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad) 

"Ini menunjukkan bahawa Perak masih dan akan terus kompeten dalam memastikan mana-mana Tanah Rizab Melayu terutama yang telah diwartakan tetap akan terpelihara. Pemasukan maklumat berkaitan Pengisytiharan Kawasan Simpanan Melayu yang telah diwartakan akan dimasukkan ke dalam hak milik secara berterusan.

"Bagaimanapun, semakan yang teliti perlu dibuat sebelum pemasukan maklumat berkaitan Kemasukan Rizab Melayu ke dalam hak milik dibuat kerana kita harus ingat, terdapat hak milik yang telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu tetapi berkemungkinan besar hak milik itu dimiliki oleh bukan Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi sempena Hari Tanah Negara Peringkat Negeri Perak 2022 bertemakan ‘Pemerkasaan Tanah Rizab Melayu’, di sini.

Tambah Saarani, istilah Tanah Rizab Melayu hanya berkuat kuasa setelah pemilik asal memindah hak milik tanah berkenaan kepada orang Melayu, maka tanah itu secara automatiknya diisytiharkan sebagai Kawasan Simpanan Melayu, Pegangan Melayu.

Media Baharu