fb fb fb fb fb

Pengamal perubatan rugi RM1.3 juta, ditipu sindiket kereta potong tidak wujud

JOHOR BAHRU, 25 Ogos- Seorang pengamal perubatan kerugian RM1.3 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menawarkan perkhidmatan menjual kereta potong dari Singapura yang tidak wujud.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa lelaki tempatan berusia 34 tahun, tertarik dengan iklan di Facebook pada hujung Julai lalu.

Beberapa transaksi memindahkan wang dibuat mangsa ke akaun suspek bermula 1 hingga 19 Ogos lalu.

Mangsa sedar ditipu selepas gagal menghubungi suspek dan membuat laporan polis minggu lalu.


(Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat)

"Kemungkinan kempen kita ini tidak sampai kepada mereka ataupun saya mohon beri cadangan pada pihak kami untuk sama sama menyedarkan masyarakat supaya tidak kehilangan wang yang banyak begitu saja", katanya.

Dalam kes berasingan, seorang mekanik rugi RM240,000 selepas terpedaya dengan sindiket tiket loteri yang menjanjikan pulangan hadiah RM500,000.

Suspek mendekati mangsa berusia 55 tahun pada Mei lalu dengan menawarkan tiket loteri yang sudah menang.

Mangsa perlu membayar wang pendahuluan sebelum mendapat hadiah tersebut dan membuat beberapa transaksi menerusi akaun bank berjumlah RM240,000.00.

Mangsa sedar ditipu selepas suspek menyekat talian telefon bimbit dan gagal dihubungi, sebelum membuat laporan polis 23 Ogos lalu.

Media Baharu