fb fb fb fb fb

Lebih 97 peratus pelajar IPTA, anak tempatan

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

KUALA NERUS, 10 Ogos - Sebanyak 511,006 kemasukan bagi program prasiswazah di Universiti Awam (UA) di seluruh negara bagi tahun ini, merekodkan 497,020 kemasukan atau 97.26 peratus dalam kalangan pelajar tempatan.

Manakala 2.74 peratus atau 13,986 adalah pelajar luar negara yang mengikuti kursus dalam pelbagai bidang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pemilihan pelajar melalui sistem UPUOnline itu dibuat selepas memenuhi semua kriteria dan keperluan pelajar tempatan yang ditetapkan.

Sekali gus beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya kuota pelajar tempatan dirampas untuk diberikan kepada pelajar asing.

"Jadi, secara umumnya 497,000 adalah pelajar-pelajar Malaysia, manakala pelajar luar yang datang untuk belajar dalam pelbagai kursus di universiti awam, iaitu seramai lebih 13,000.

"Maksudnya, ia berdasarkan jumlah pelajar di sesebuah universiti dan bergantung kepada kursus-kursus yang ditawarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Kompleks Akademia bernilai RM15 juta serta meninjau kemajuan projek tebatan banjir bernilai RM40 juta di Universiti Malaysia Terengganu, UMT Kuala Nerus.

Mengulas mengenai projek tebatan banjir UMT, beliau berkata projek tersebut yang dijadual siap April tahun depan bakal menyelesaikan masalah banjir dalam kampus tersebut.

Sehingga kini projek tersebut mendahului jadual, iaitu siap 24 peratus.

EZA YUSMAWATI YAACOP