fb fb fb fb fb

KPT teliti masalah bekalan air di IPT, tindakan segera diambil

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir/BERNAMA

KUALA NERUS, 10 Ogos- Masalah bekalan air bersih di beberapa institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara termasuk di politeknik sedang diperhalusi.

Ini termasuk mencari jalan penyelesaian segera bagi mengatasi masalah tersebut.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata pihaknya sedang menunggu laporan berhubung masalah bekalan air di Politeknik Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

"Sebelum ini kita menerima maklumat mengenai isu di Sabah, dan tidak menolak kemungkinan ia berlaku di tempat-tempat lain. Sekiranya timbul sebarang masalah, sama ada di universiti atau politeknik, mereka akan memaklumkan kepada kita untuk mencari jalan penyelesaian.

Masalah tersebut mungkin berkaitan dengan sistem sedia ada di institusi berkenaan atau berpunca daripada kekurangan bekalan air yang sebelum ini tidak dimaklumkan," kata Datuk Seri Dr. Zambry kepada pemberita, hari ini.

Beliau sebelum itu mengulas mengenai situasi air kehitaman di Politeknik Kota Bharu, Kelantan yang tular di media sosial.

Bagaimanapun, aduan berhubung perkara itu sudah dilakukan dan tindakan segera sudah diambil.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM