fb fb fb fb fb

Ketua Penasihat Bangladesh lawat Malaysia 11–13 Ogos

Ketua Penasihat Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh,Profesor Dr. Muhammad Yunus

PUTRAJAYA, 10 Ogos – Ketua Penasihat Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh, Profesor Dr Muhammad Yunus, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula esok hingga 13 Ogos 2025.

Lawatan tersebut adalah atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai lawatan balas kepada kunjungan rasmi beliau ke Bangladesh pada Oktober tahun lalu.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan Dr Muhammad Yunus akan diiringi beberapa penasihat serta pegawai kanan Kerajaan Bangladesh.

“Ketua Penasihat akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, pada 12 Ogos 2025, diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan kerjasama dua hala Malaysia–Bangladesh, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, sumber manusia, pendidikan, pelancongan dan pertahanan, selain membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Dalam lawatan itu, kedua-dua pemimpin turut akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan bidang pertahanan, tenaga, kajian strategik dan antarabangsa, pembangunan kapasiti dalam bidang semikonduktor, dan promosi perdagangan, selain pertukaran Nota Diplomatik berkaitan latihan diplomatik dan pendidikan tinggi.

Datuk Seri Anwar juga akan menghoskan Majlis Jamuan Tengah Hari Rasmi buat Ketua Penasihat dan delegasi di Kompleks Seri Perdana.

Pada 13 Ogos, Dr Muhammad Yunus dijadual menyampaikan syarahan umum serta menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga akan mengadakan sesi bersama ahli komuniti Pusat Perniagaan Sosial Yunus dan Rangkaian Universiti dalam program anjuran bersama UKM.

Pada tahun lalu, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (AS$2.92 bilion), meningkat 5.1 peratus berbanding 2023, menjadikan Bangladesh rakan dagang dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan.

Eksport utama negara ke Bangladesh merangkumi produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia, manakala import dari negara itu terdiri daripada tekstil dan pakaian, produk petroleum serta barangan pembuatan.

Lawatan ini dijangka memperkukuh hubungan dua hala dan merangsang kerjasama yang lebih erat dalam bidang berkepentingan bersama, berasaskan asas kukuh yang telah terjalin sejak hubungan diplomatik Malaysia–Bangladesh dimeterai pada 1972.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE