KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Ribuan masyarakat daripada pelbagai latar belakang, bangsa, agama dan negara membanjiri Dataran Merdeka bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Himpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza bermula seawal pukul 4.00 petang dengan perarakan para peserta menuju ke Dataran Merdeka, disertai rakyat dan lebih 20 kumpulan daripada badan bukan kerajaan (NGO) berbilang bangsa.
Menurut Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam), Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran Gopal Krishnan, Himpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza membawa mesej kemanusiaan yang jelas kepada masyarakat global.
"Perhimpunan ini bukan tentang peperangan. Bukan juga tentang perbalahan. Sebaliknya, ia adalah seruan untuk menghentikan satu malapetaka kemanusiaan yang sedang berlaku di hadapan mata kita.
"Di Malaysia, kita tanpa mengira bangsa atau latar belakang, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan atau lain-lain telah bersatu atas nama kemanusiaan.
"Selagi bumi Gaza terus dibasahi darah, kita tidak akan berdiam diri. Kita akan terus bangkit, bersatu, dan bersuara demi keadilan serta nilai-nilai kemanusiaan", katanya.
Beliau ditemui media pada perhimpunan tersebut yang berlangsung dengan penuh meriah, tertib dan lancar di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Program tersebut dijangka berlangsung sehingga 11.00 malam ini.