KOTA BAHRU, 9 Ogos - Kerajaan bersedia meneliti permohonan projek baharu yang mendesak daripada Kelantan, meskipun projek utama telah disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penentuan keutamaan projek dalam RMK13 turut dibuat melalui perbincangan langsung bersama kerajaan negeri itu.
"Sekiranya projek yang dicadangkan benar-benar mendesak, biasanya ia melibatkan perkara seperti tebatan banjir, bekalan air, bekalan tenaga, serta pembasmian kemiskinan tegar. Ini adalah antara hal-hal yang kita beri keutamaan.
"Jika cadangan itu termasuk dalam kerangka keutamaan tersebut, saya percaya kita boleh pertimbangkan.
"Tambahan pula, kita telah memulakan sesi libat urus bagi Belanjawan Negara, yang tentunya akan mengambil kira pelaksanaan RMK13," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) Kelantan 2025 di sini hari ini.
Tambah beliau, proses libat urus kini dipermudahkan berbanding sebelum ini dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada kerajaan negeri.