fb fb fb fb fb

Festival ASEAN tonjol keunikan dan potensi masyarakat orang asli

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 yang berlangsung di Muzium Negara menjadi antara 138 program utama anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) tahun ini, dengan matlamat mempromosikan kepelbagaian warisan sejarah dan budaya negara melalui pendekatan interaktif serta berinformasi.

Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, penganjuran festival itu bertepatan dengan tema Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, iaitu Keterangkuman dan Kemampanan yang menekankan semangat perpaduan dan kerjasama serantau.

Menurut beliau, salah satu mesej penting yang ingin disampaikan ialah memperbetulkan persepsi terhadap masyarakat orang asli dan peribumi yang sering dianggap komuniti terpinggir.

“Kita mahu tonjolkan bahawa masyarakat orang asli bukanlah golongan terpinggir. Mereka adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang memiliki keunikan budaya, dan berpotensi untuk berjaya,” katanya ketika ditemui pada Program Citra Nusa@Muzium: ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 di ibu negara.

Festival yang berkonsepkan budaya yang dipentaskan itu menghimpunkan warisan seni dan budaya masyarakat orang asli di Semenanjung, peribumi Sabah dan Sarawak, serta komuniti peribumi dari Thailand, Indonesia dan Filipina.

Antara pengisian program termasuk pameran mini, persembahan kebudayaan, demonstrasi, jualan produk dan kraftangan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami yang menyifatkan penganjuran ini sebagai manifestasi komitmen Malaysia memperkukuh semangat perpaduan serantau, khususnya dalam kalangan masyarakat peribumi dan Orang Asli ASEAN.

0908 NSL KP MUZIUM ORG ASLI123Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE