fb fb fb fb fb

Perak kenal pasti kawasan penempatan semula penduduk terjejas banjir

(FOTO FAIL)

IPOH, 13 Disember- Semua Pejabat Daerah dan Tanah di Perak telah diarahkan untuk mengenal pasti kawasan penempatan semula penduduk terjejas banjir di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata antara faktor yang perlu diambil kira termasuk aspek keselamatan selain sosio ekonomi penduduk yang dipindahkan.

Beliau mengakui, terdapat keperluan untuk memindahkan penduduk ke penempatan baharu susulan kejadian banjir yang kerap berlaku.

"Cuma kadang-kadang orang yang terlibat banjir ini duduk tepi sungai, pekerjaan, pendapatan dia bergantung kepada sungai itu, jadi kalau kita pindahkan dia jauh daripada sungai, dia pulak akan hilang punca pendapatan.

"Sebab itu bila nak memindahkan ini kena ambil kira, pertama kawasan nak ditempatkan itu yang sesuai, lebih selamat daripada kawasan asal dan kedua tidak jauh daripada tempat dia mencari makan," katanya.

(Datuk Seri Saarani Mohamad)

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Cikgu Saarani di konti Perak FM.

Setakat ini, hanya satu kawasan telah dikenal pasti iaitu di Kampung Air Hitam, Changkat Jong dalam daerah Hilir Perak.

Projek itu yang sebelum ini tertangguh akibat pandemik COVID-19 akan diteruskan namun penelitian semula membabitkan kos perlu dilakukan berikutan peningkatan harga binaan.

Media Baharu