IPOH, 25 Mei-Kerajaan Perak melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terus melipat gandakan usaha secara konsisten bagi menambah keluasan Tanah Rizab Melayu di Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata antara langkah yang dibuat termasuk mengenalpasti kawasan seluas kira-kira 3,782 hektar untuk diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu.
Manakala sejumlah lebih kurang 3,749 hektar kini dalam semakan akhir tapak sebelum dipertimbangkan selanjutnya.
"Kita telah dan sedang mengambil tindakan bagi menyempurnakan proses pewartaan bagi tanah-tanah yang telah diluluskan sebagai kawasan Tanah Rizab Melayu.
"Ini juga termasuk tanah-tanah yang telah diluluskan bagi Perkampungan Tersusun (RPT) dan Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB)", katanya ketika menjawab soalan lisan Adun Trong, Muhammad Faisal Abdul Rahman ketika Persidangan Dewan Undangan (DUN) Perak.
Sehingga kini keluasan Tanah Rizab Melayu di Perak bagi tahun 2023 adalah seluas 953,178 hektar.
Ia merupakan 45 peratus dari keluasan keseluruhan negeri berjumlah 2.11 juta hektar.
(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad/FOTO RTM)