MANJUNG, 26 November- Kerajaan Perak berhasrat menubuhkan pasukan sukarelawan khusus bagi memberi bantuan ketika dan selepas bencana.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed berkata ia sebagai langkah persediaan menggerakkan misi bantuan yang akan diaktifkan serta-merta apabila berlakunya bencana banjir.
Selain membantu membersihkan kawasan rumah, sekolah dan bangunan awam yang terjejas akibat banjir, fokus utama pasukan sukarelawan itu adalah membantu memulihkan emosi penduduk yang terkesan dengan banjir.
"Sebenarnya antara satu perkara yang perlu kita ambil kira apabila menghadapi musibah, dari segi emosinya kita kena melihat, jadi bila emosi stabil, insya-Allah perancangan kita untuk setiap tindakan akan dipermudahkan.
"Jadi sebab itu saya kira pengisian yang telah diaturkan oleh JKM termasuk pentadbiran daerah adalah satu perkara yang cukup-cukup baik," katanya.
(Salbiah Mohamed)
Beliau ditemui selepas meninjau keadaan penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Rakyat Padang Serai Beruas, di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Azman Noh berharap pembinaan projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Beruas disegerakan bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu.
"Biasanya banjir di sini akan mengambil masa yang panjang untuk surut, kita istilahkan di sini adalah banjir termenung," katanya.
(Azman Noh)