IPOH, 23 Februari- Perak berpotensi besar menjadi pelopor kepada transformasi kesihatan digital negara berdasarkan capaian liputan 4G sebanyak 99.76 peratus dan 81 peratus bagi 5G di kawasan berpenduduk setakat suku keempat 2024.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, pencapaian itu membuktikan kesediaan negeri memacu sektor penjagaan kesihatan ke arah lebih moden dan bersepadu.
"Perak adalah negeri yang kita dah cukup kuat untuk sambungan telekomunikasi dan sekiranya kita melaksanakan program pada masa depan ia tidak menjadi masalah.
"Ia juga dilihat akan meringankan sektor kesihatan dengan pendigitalan. Sebagai contoh kita ingin biasakan mereka (pesakit) berhubung dengan doktor menerusi panggilan video. Kita ke arah pelaksanaan itu," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Rintis Future Health For All (FH4A) di Dewan Komuniti Taman Cempaka di sini.
Beliau turut menambah bahawa kemajuan dalam infrastruktur digital membuka ruang kepada inovasi baharu sekali gus membolehkan sektor kesihatan bergerak seiring dengan perubahan global dan memenuhi keperluan rakyat secara menyeluruh.