fb fb fb fb fb

Penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN, perkukuh kesepaduan dan keterangkuman Asia Tenggara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN yang dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kesepaduan dan keterangkuman rantau Asia Tenggara.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, penerimaan terhadap keanggotaan Timor-Leste menunjukkan komitmen politik ASEAN dalam memperluaskan pengaruhnya, selaras dengan konsep Kepusatan ASEAN.

Langkah ini juga penting, lebih-lebih lagi ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Walaupun kecil dari segi populasi, kemasukan Timor-Leste membuka ruang kepada perluasan diplomasi dan kerjasama serantau, terutamanya dalam konteks geopolitik Indo-Pasifik," jelas beliau ketika dihubungi secara dalam talian menerusi program Selamat Pagi Malaysia.

Tambah beliau, kedudukan strategik Timor-Leste, serta kawasan perairan penting seperti Selat Ombai-Wetar berpotensi menjadi pemangkin kepada kestabilan serantau dan pembangunan ekonomi yang inklusif.

Beliau berkata, Malaysia telah memainkan peranan aktif melalui bantuan teknikal dan dana pembangunan kepada Timor-Leste, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala dan kesediaan institusi negara tersebut untuk menyertai ASEAN secara rasmi.

Dr Noor Nirwandy turut menekankan bahawa penyertaan ini berupaya memperkukuh keselamatan, diplomasi dan kestabilan rantau ASEAN, selaras dengan prinsip 'tidak campur tangan' dalam urusan dalaman negara anggota yang menjadi asas kepada kerjasama serantau.

Beliau tidak menolak kemungkinan, negara lain seperti Papua New Guinea bakal menyertai ASEAN pada masa hadapan, menjadikan ASEAN sebuah entiti yang semakin berpengaruh di peringkat global.

MASNIZA AWANG KECHIK