PADANG RENGAS, 27 Oktober- Malaysia adalah negara pertama yang disebut dan dipersetujui sebagai rakan baharu BRICS oleh lima anggota asalnya, iaitu Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sewaktu pertemuan mereka di Kompleks Seri Perdana, semalam.
Menurut Anwar, ini merupakan bukti reaksi positif terhadap potensi penyertaan Malaysia dalam blok tersebut, yang secara kolektif merangkumi satu per lima daripada perdagangan global.
"Dia (Abiy) kata dalam mesyuarat negara asas, yang dipengerusikan Presiden Rusia, Vladimir Putin, sebelah kanannya Presiden China, Xi Jinping, kiri dia Perdana Menteri India, Narendra Modi.
"Dia kata nama negara pertama diusulkan Malaysia. Putin cadang sokongan kuat dan padu dari China, India, Brazil, Ethiopia dan Afrika Selatan.. terus tiada soal, terima Malaysia sebagai rakan BRICS yang baharu," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Padang Rengas di sini.
Malaysia secara rasmi diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara rakan baharu dalam BRICS pada Khamis lalu.
Selain Malaysia, 12 negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turkiye, Uganda, Uzbekistan, dan Vietnam.
BERITA BERKAITAN:
- Malaysia dan 12 negara lain secara rasmi sertai BRICS
- Penyertaan Malaysia dalam BRICS wujudkan persekitaran perdagangan seimbang
- Jemputan Malaysia ke Sidang BRICS dinilai positif - Fahmi
- Hasrat Malaysia sertai BRICS bakal dibincangkan
- Penyertaan Malaysia dalam BRICS, langkah strategik perluas jaringan ekonomi