fb fb fb fb fb

Penyertaan komuniti usaha kekal tradisi, seni dan budaya

Foto hiasan

KUANTAN, 28 Jun- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang mengadakan program baharu tahun ini melalui Program Budaya@Komuniti menyasarkan komuniti setempat sebagai rakan kerjasama.

Pengarah JKKN Pahang Mohd Rizal Ismail berkata, tema seni warisan zaman dahulu dilihat sebagai salah satu tarikan pelancongan khususnya di Pahang selain menghidupkan tradisi, seni dan budaya supaya tidak lapuk dek zaman.

"Kita sentiasa mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai program untuk mengagung-agungkan dan mengangkat seni budaya kita.

"Kita berharap dengan program seumpama ini, generasi muda dapat menyemai kesedaran tinggi terhadap kesenian-kesenian yang masih ada lagi dan dapat diwarisi pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Budaya@Komuniti Pulau Tawar Kampung Kas di Jerantut, Pahang.

Pulau Tawar di Jerantut menjadi lokasi pertama program tersebut sebelum diadakan di lokasi lain pada bulan September depan.

Program yang turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut serta penduduk setempat itu akan diangkat menjadi salah satu acara menarik untuk kalendar pelancongan negeri Pahang.

Pada masa sama, beliau turut mengalakkan lebih banyak pertubuhan kesenian dan kebudayaan berdaftar di negeri itu untuk mendapatkan pelbagai inisiatif yang disediakan pihak JKKN supaya mengadakan lebih banyak program serupa.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI