KUALA LUMPUR, 28 Jun - Langkah kerajaan menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan reaksi yang tergesa-gesa, sebaliknya mengambil kira maklum balas semua kementerian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia telah melalui proses perbincangan sejak dua minggu lepas, sebelum dibentangkan pada sidang Parlimen bulan depan.
"Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu semua kementerian meneliti draf RMK13 tersebut dan memberi maklum balas kepada Kementerian Ekonomi, katanya.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata berikutan perkara itu, satu sidang khas Jemaah Menteri telah diadakan pada Isnin minggu lepas untuk meneliti pandangan daripada semua kementerian.
"Dalam mesyuarat itu dilihat banyak perkara yang telah diminta oleh kementerian-kementerian yang perlu diambil kira oleh Kementerian Ekonomi dalam membentuk dokumen RMK13," katanya selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA), di sini.
Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dilaporkan telah mempersoalkan langkah kerajaan menyemak semula RMK13 sebagai reaksi tergesa-gesa terhadap kritikan di media sosial.
Perkara itu susulan pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam, yang memaklumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah ditugaskan untuk mengolah dan merombak semula RMK13 disamping menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.