fb fb fb fb fb

21 kediaman di Bagan Pasir Laut musnah dijilat api

Foto JBPM Perak

BAGAN DATUK, 28 Jun- Sebanyak 21 buah rumah musnah dalam satu kejadian kebakaran besar yang berlaku di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang awal pagi tadi.

Kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 4.52 pagi itu turut memusnahkan sebuah kedai makan dan sebuah tokong.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 11 anggota dengan bantuan 20 anggota sukarela dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, BBP Teluk Intan, Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Bagan Sg Tiang, PBS Bagan Datuk diarahkan ke lokasi untuk melakukan pemadaman api.

"Kebakaran merebak dengan cepat disebabkan oleh struktur rumah yang berhampiran serta tekanan air dari pili bomba yang rendah selain faktor bekalan elektrik yang masih aktif ketika proses operasi pemadaman turut menimbulkan kebimbangan risiko renjatan elektrik.

"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 10.45 pagi," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, punca kebakaran masih dalam siasatan dan JBPM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian kebakaran, terutamanya di kawasan kediaman yang padat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI