fb fb fb fb fb

Penyertaan ke blok serantau, Timor-Leste rakam penghargaan kepada Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao (kanan)/ BERNAMA

DILI, 24 September - Timor-Leste menyambut baik usaha Malaysia dalam memastikan keanggotaan negara itu dalam ASEAN dapat direalisasikan pada bulan depan.

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao berkata, Malaysia secara konsisten memberikan sokongan terhadap usaha Timor-Leste untuk menganggotai ASEAN.

"Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan yang kukuh dan berkesan. Ini merupakan peluang bagi kami untuk mengesahkan keanggotaan ASEAN pada Sidang Kemuncak yang dijadualkan berlangsung Oktober depan bawah Kepengerusian Malaysia.

"Sokongan padu daripada rakyat Malaysia akan sentiasa kami kenang," katanya dalam sidang media bersama di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik pelaksanaan pengecualian visa dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste yang mula berkuat kuasa pada 16 Ogos lalu, kerana ia memudahkan pergerakan pengembara antara kedua-dua negara.

Terdahulu, pelbagai isu berkaitan negara dan serantau telah dibincangkan dalam pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin di Istana Kerajaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI