KUALA LUMPUR, 24 September - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendukung penuh usaha misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dalam menyampaikan bantuan ke wilayah itu.
Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi perbualan telefon bersama wakil misi GSF Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman.
"Bagi pihak seluruh rakyat Malaysia, kami berasa bangga dengan usaha 34 individu yang mewakili pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dalam misi kemanusiaan ke Gaza. Mereka kini berdepan kemungkinan ancaman daripada pihak Israel yang berusaha menggagalkan misi ini untuk menyampaikan bantuan.
"Bagaimanapun, kabinet khususnya Perdana Menteri amat mendukung usaha tersebut. Kita berharap, insya-Allah, misi ini akan berjaya, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga bagi gabungan 45 negara yang bersama-sama menyertai 53 kapal dalam misi ini," katanya.
Pihak kerajaan sentiasa mendoakan misi berkenaan agar kekal selamat daripada serangan dron supaya bantuan kemanusiaan dapat disampaikan dengan selamat ke Gaza
Sementara itu, Konvoi Global Sumud Flotilla, (GSF) yang mempunyai 34 delegasi dari Malaysia dan memasuki hari ke 24 dan kini semakin hampir dalam perjalanan menuju ke Gaza.