KUALA LUMPUR, 24 September- Dua Ahli Dewan Negara hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemeew Awang Ali Basah.
Mereka ialah Bendahari Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor, Datuk Ng Keng Heng, dan Pengerusi Kelab Siam Sektor Awam Malaysia (KeSSA), Niran Tan Kran, yang juga bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Perak.
Datuk Ng merupakan lantikan baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkuat kuasa 11 September hingga 10 September 2028.
Niran pula dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini hingga 23 September 2028.
Dalam sidang media, Niran menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda atas perkenan pelantikan itu.
“Amanah besar ini merupakan satu penghormatan yang akan saya galas dengan penuh kesetiaan dan tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Datuk Ng menegaskan komitmennya untuk memberi perhatian serius terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang disifatkan sebagai tunjang utama ekonomi negara.
“Dengan pengalaman serta kepakaran dalam bidang ekonomi, saya akan menitikberatkan kepentingan PKS sebagai tulang belakang ekonomi negara,” ujarnya.
Beliau turut berjanji untuk membawa agenda pembangunan Johor ke Dewan Negara demi kesejahteraan rakyat.