ROMPIN, 26 Jun - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan penggunaan helikopter bagi penyemburan udara biopestisid untuk kawalan ulat bungkus di kawasan tanaman sawit.
Kaedah semburan udara produk berasaskan Bacillus Thuringiensis (Bt) itu, dilakukan di ladang-ladang sawit secara lebih berkesan, meliputi kawasan tanaman lebih luas.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, sejak 2017, dron digunakan untuk semburan, bagaimana pun ia terhad kepada kawasan penanaman yang kecil.
"Menggunakan helikopter untuk penyemburan racun bagi mengawal pembiakan khususnya ulat bungkus yang menjadi ancaman kepada kelapa sawit, sebelum ini menggunakan dron sekarang ini menggunakan kaedah penerbangan helikopter yang mana liputannya lebih meluas dan keberkesanan juga lebih nampak terhasil," kata Fadillah, di sini.
Menyedari ancaman ulat bungkus kepada tanaman sawit, pelbagai inisiatif diatur pihak kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi bersama MPOB.
Malah katanya, RM12 juta diperuntukkan bagi mengatasi ancaman serangga perosak berkenaan bagi tempoh lima tahun sejak 2018.
Ulat bungkus yang menyerang pokok sawit matang memberi kesan kepada pengeluaran hasil sawit dan pendapatan pengusaha ladang, malah menjejaskan 15 hingga 20 peratus keuntungan hasil sawit negara.
(Fadillah bercakap kepada media selepas
Majlis Pelancaran Penggunaan Helikopter Bagi Kawalan Bersepadu Serangga Perosak Ulat Bungkus
dan Pecah Tanah Kilang Sawit Pintar, di sini)
Dalam pada itu, sebuah kilang sawit pintar akan dibina di Stesen Penyelidikan MPOB Keratong hasil kerjasama strategik MPOB dan Syarikat Fisionex Group, berlandaskan pendekatan Revolusi Industri 4.0.
Jelas beliau, pembinaan kilang sawit berkenaan yang dijangka siap hujung 2024 dan mula beroperasi pada awal tahun 2025 itu, akan menggunakan pendekatan “pelepasan sifar” sejajar dengan usaha bagi mengurangkan jejak air di sektor pengilangan sawit.