fb fb fb fb fb

'Kedai cari rakyat', masyarakat di kawasan terpencil berpeluang nikmati harga rahmah

(Foto Jabatan Penerangan Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN) memperluaskan inisiatif Jualan Rahmah menerusi 'kedai cari rakyat'.

Konsep jualan bergerak yang menggunakan kenderaan seperti lori dan treler itu bagi memastikan masyarakat di kawasan terpencil tidak terkecuali menikmati harga 'rahmah' yang ditawarkan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif berkenaan memudahkan serta menjimatkan kos pengangkutan terutama bagi mereka yang berada di luar bandar dan jauh daripada kedai atau pasar raya.


(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub)

"Terbaharu Jualan Rahmah bergerak, yang ini telah mendapat sokongan penuh daripada industri dalam bentuk van atau lori ataupun treler masuk kampung. Bila sampai destinasi itu, boleh buka sahaja dan boleh jual.

"Apa yang menarik adalah Jualan Rahmah bergerak ini... kita tidak perlu membayar atau menggaji lori-lori itu, kita tidak perlu bayar duit minyak, upah kerana ini benar-benar private driven, maknanya rahmah bukan sahaja pada barang, pengusaha itu sendiri telah merahmahkan dirinya.

"Pada masa akan datang KPDN akan melihat lagi bagaimana lori atau jualan rahmah bergerak ini dapat diwujudkan dan lebih banyak masuk di kawasan kampung-kampung, khususnya di kawasan jauh terpencil yang masih terdapat dalam negara dan kita telah menjadikan pergerakan lori ini sebagai 'kedai cari rakyat'. Jadi rakyat tidak perlu cari kedai lagi terpaksa bayar kos atau pergi ke bandar besar, tapi dengan konsep jualan rakyat bergerak itu kedai cari rakyat", katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media di Bangunan Parlimen.

Tambahnya, sejak 16 jun hingga 28 jun, dianggarkan sebanyak 640 Jualan Rahmah sempena Aidiladha dilaksana di kawasan Dewan Undangan Negeri.

Antara barangan menjadi tumpuan termasuklah, ayam bulat yang dijual pada harga serendah RM10.00.

Libat urus bersama industri terus dipergiat bagi memperbanyakkan inisiatif tersebut. 

Media Baharu