fb fb fb fb fb

Penyelidik UPMKB temui potensi prebiotik dari sumber tempatan Borneo

Foto FB UPMKB

SERDANG, 17 Disember- Penemuan potensi prebiotik dalam sumber tempatan Borneo boleh meningkatkan kesejahteraan kesihatan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Penyelidik Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini menjelaskan kajian mengenai makanan fungsian tempatan seperti tepung sago, lada Sarawak, midin, dabai, sarang burung walit dan gam Arab (Gum Arabic) menunjukkan manfaat besar untuk kesihatan usus.

"Kajian ini memfokuskan makanan fungsian tempatan yang mungkin belum begitu dikenali tetapi mempunyai manfaat yang baik untuk kesihatan usus serta bersifat asli dalam meneroka potensi prebiotik dan probiotik dalam sumber tempatan," kata Dr. Shahrul dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kajiannya, tepung sagu yang secara tradisional dikenali sebagai lemantak mempunyai kanji rintang menjadikannya prebiotik unggul berbanding sumber botani dari Barat.

"Ini diekstrak secara manual dari batang pokok sagu, diikuti dengan proses pembasuhan, pemendapan dan pengeringan dan boleh digunakan secara meluas dalam penyediaan makanan," tambahnya.

Dalam pada itu, Dr. Shahrul Razid berkata kajiannya juga menekankan kepentingan bakteria usus dalam menyokong imuniti, fermentasi makanan dan penghasilan vitamin.

Prebiotik daripada sumber tempatan terbukti mampu merangsang pertumbuhan bakteria baik yang penting untuk kesihatan usus.

“Dengan fokus kepada makanan fungsian tempatan, kajian ini dapat membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Hasil kajian tersebut telah dipatenkan dan dijangka memberi peluang besar kepada pengilang tempatan dalam mengkomersialkan produk prebiotik tempatan berkualiti tinggi.

"Melalui kajian ini, ia bukan sahaja membantu dalam menghasilkan produk berasaskan prebiotik yang dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat, malah membuka peluang bagi ekonomi negara untuk menjadi pengeluar utama dalam industri makanan fungsian secara global," jelasnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM